PENGARANG muda tanah air berusia 40 tahun ke bawah dipelawa menyertai Projek Pengumpulan Cerpen dan Puisi Penulis Muda sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2011 yang dibuka sehingga 15 April ini.

Penyelenggara projek yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Saifullizan Yahaya, berkata pengarang muda yang berminat boleh menghantar karya terbaik mereka dan pernah disiar dalam media seperti akhbar, majalah, antologi dan kumpulan perseorangan.

“Karya yang dihantar hendaklah disertakan sekali biodata lengkap maklumat peribadi, senarai karya yang pernah tersiar atau diterbitkan dan hadiah serta anugerah yang pernah dimenangi.

“Karya itu bakal dimuatkan dalam antologi cerpen dan antologi puisi yang akan dilancarkan dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang diadakan secara dwi tahunan itu,” katanya pada satu kenyataan melalui emel.

Pihak penyelenggara akan menentukan karya yang layak untuk diantologikan berdasarkan mutu dan pencapaian penulis dan yang berminat boleh menghantar cerpen ke emel bukunotakaki@yahoo.com, manakala puisi ke saif@dbp.gov.my.

0 Responses to "Projek penulisan untuk penulis muda"

Catat Ulasan