PENGARANG muda tanah air berusia 40 tahun ke bawah dipelawa menyertai Projek Pengumpulan Cerpen dan Puisi Penulis Muda sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2011 yang dibuka sehingga 15 April ini.

Penyelenggara projek yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Saifullizan Yahaya, berkata pengarang muda yang berminat boleh menghantar karya terbaik mereka dan pernah disiar dalam media seperti akhbar, majalah, antologi dan kumpulan perseorangan.

“Karya yang dihantar hendaklah disertakan sekali biodata lengkap maklumat peribadi, senarai karya yang pernah tersiar atau diterbitkan dan hadiah serta anugerah yang pernah dimenangi.

“Karya itu bakal dimuatkan dalam antologi cerpen dan antologi puisi yang akan dilancarkan dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang diadakan secara dwi tahunan itu,” katanya pada satu kenyataan melalui emel.

Pihak penyelenggara akan menentukan karya yang layak untuk diantologikan berdasarkan mutu dan pencapaian penulis dan yang berminat boleh menghantar cerpen ke emel bukunotakaki@yahoo.com, manakala puisi ke saif@dbp.gov.my.

Rabu, Mac 17, 2010

1Antologi Puisi Hari Guru selenggaraan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Persatuan Penulis Selangor (PPS) terbuka kepada pengarang dan penyair sehingga 25 Mac ini.

Penyelenggara, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, berkata projek penerbitan antologi itu diadakan bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini, sekali gus bertujuan mengenang dan mengangkat jasa bakti golongan pendidik itu dalam memperkukuhkan peradaban ilmu di negara ini.

“Mereka yang berminat boleh menghantar puisi sama ada berbentuk tradisional seperti pantun, syair, nazam dan gurindam atau moden (sajak), tetapi temanya hendaklah berkisar kepada jasa, pengorbanan dan penghargaan guru.

“Setiap pengarang dan penyair boleh menghantar maksimum tiga karya yang setiap puisi tidak lebih daripada tiga halaman yang ditaip langkau dua baris di atas kertas A4 dengan menggunakan tulisan Arial bersaiz 12,” katanya pada satu kenyataan melalui emel.

Beliau berkata, panel penyelenggara berhak untuk memilih puisi yang bersesuaian untuk diterbitkan dalam 1Antologi Puisi Hari Guru dan pihaknya akan memaklumkan mereka tentang karya yang terpilih, manakala pengarang dan penyair yang karya mereka dipilih dan disiarkan bakal menerima bayaran honorarium dan senaskhah antologi percuma.

“Oleh itu, mereka hendaklah menyertakan biodata ringkas, alamat surat-menyurat dan nombor telefon untuk memudahkan urusan penerbitan dan pemberitahuan,” katanya.

Maklumat lanjut hubungi Muhamad Ikhram Fadhly di talian 0122908429 atau emel ikhram@dbp.gov.my/pahlawan313@yahoo.com.my atau Saifullizan Yahaya (0163018645/saif@dbp.gov.my/saif_hati@yahoo.com.my).

SAYEMBARA Menulis Novel Dan Skrip Drama Kanak-Kanak Dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2009 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM49,500 dibuka sehingga 30 September 2010.

DBP dalam satu kenyataannya di laman webnya, berkata peserta boleh memilih kategori berdasarkan usia pembaca, iaitu kategori kanak-kanak yang menyasarkan pembaca berusia 10 hingga 12 tahun; kategori remaja I (13-15 tahun) dan kategori remaja II (16-18 tahun).

“Bagi kategori kanak-kanak, tema karya ialah perpaduan, sains fiksyen, kasih sayang dan kekeluargaan; kategori remaja I (perpaduan, sains fiksyen, kekeluargaan dan pengembaraan), manakala kategori remaja II (sejarah, konflik sosial, kemasyarakatan dan biografi tokoh terkenal),” katanya.

Di samping itu, peserta digalakkan memasukkan unsur integrasi kaum dalam karya yang panjang manuskrip novel kanak-kanak dalam lingkungan 15,000 hingga 50,000 perkataan; novel remaja (50,000 hingga 100,000 perkataan); skrip drama kanak-kanak (10,000 hingga 15,000 perkataan) dan skrip drama remaja (20,000 hingga 40,000 perkataan).

Hadiah pertama bernilai RM3,000; kedua (RM2,000); ketiga (RM1,000) dan sagu hati (RM750), manakala karya hendaklah asli dan bukannya saduran, adaptasi atau penyesuaian serta belum pernah tersiar dan diterbitkan.

Peserta boleh menyertai semua kategori, tetapi hanya dibenarkan menghantar satu manuskrip saja untuk setiap genre bagi semua peringkat umur dan karya perlu ditaip di atas kertas A4 sebelah muka dengan langkau dua baris dan berjilid kemas, manakala judul karya ditaip pada kulit naskhah. Maklumat lanjut hubungi Urus Setia Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP di talian 03-21482522/03-214 82526/ 03-21482345; faks 03- 21414109; e-mel syila@dbp.gov.my/azihani@dbp.gov.my/fatimah4@dbp.gov.my.