Rabu, Mac 17, 2010

1Antologi Puisi Hari Guru selenggaraan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Persatuan Penulis Selangor (PPS) terbuka kepada pengarang dan penyair sehingga 25 Mac ini.

Penyelenggara, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, berkata projek penerbitan antologi itu diadakan bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini, sekali gus bertujuan mengenang dan mengangkat jasa bakti golongan pendidik itu dalam memperkukuhkan peradaban ilmu di negara ini.

“Mereka yang berminat boleh menghantar puisi sama ada berbentuk tradisional seperti pantun, syair, nazam dan gurindam atau moden (sajak), tetapi temanya hendaklah berkisar kepada jasa, pengorbanan dan penghargaan guru.

“Setiap pengarang dan penyair boleh menghantar maksimum tiga karya yang setiap puisi tidak lebih daripada tiga halaman yang ditaip langkau dua baris di atas kertas A4 dengan menggunakan tulisan Arial bersaiz 12,” katanya pada satu kenyataan melalui emel.

Beliau berkata, panel penyelenggara berhak untuk memilih puisi yang bersesuaian untuk diterbitkan dalam 1Antologi Puisi Hari Guru dan pihaknya akan memaklumkan mereka tentang karya yang terpilih, manakala pengarang dan penyair yang karya mereka dipilih dan disiarkan bakal menerima bayaran honorarium dan senaskhah antologi percuma.

“Oleh itu, mereka hendaklah menyertakan biodata ringkas, alamat surat-menyurat dan nombor telefon untuk memudahkan urusan penerbitan dan pemberitahuan,” katanya.

Maklumat lanjut hubungi Muhamad Ikhram Fadhly di talian 0122908429 atau emel ikhram@dbp.gov.my/pahlawan313@yahoo.com.my atau Saifullizan Yahaya (0163018645/saif@dbp.gov.my/saif_hati@yahoo.com.my).

0 Responses to "1Antologi Puisi Hari Guru"

Catat Ulasan