PERTANDINGAN Penulisan Cerita Rakyat Nusantara bertemakan angkasa dan alam semesta yang menawarkan hadiah keseluruhan RM10,000 anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terbuka kepada orang ramai sehingga 30 November ini.

Pemenang pertama pertandingan akan membawa pulang hadiah bernilai RM 3000 dan sijil; kedua (RM2000 dan sijil) dan ketiga (RM1000 dan sijil), manakala 10 pemenang saguhati menerima RM400 dan sijil.

Pertandingan itu bermatlamat untuk mengumpul cerita rakyat Nusantara mengenai alam semesta dan menerbitkan bahan berkenaan dalam pelbagai media, sekali gus menanam serta memupuk minat dan penghayatan orang ramai terhadap warisan sastera rakyat dalam masyarakat dan budaya di rantau ini.

Bahan yang boleh dihantar ialah cerita rakyat yang meliputi cerita asal-usul tentang nama tempat, kejadian, benda atau objek serta amalan budaya, cerita legenda, cerita binatang, cerita jenaka, cerita teladan dan lipur lara.

Syarat penyertaan

1. Pertandingan ini terbuka kepada sesiapa saja yang berminat.
2. Cerita hendaklah benar-benar ada atau memang pernah wujud dalam masyarakat yang berkenaan dan bukan direka-reka mengikut imaginasi penulis.
3. Cerita hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu baku, dicetak langkau dua baris dengan menggunakan kertas saiz A4 dan pada sebelah halaman sahaja. Tulisan bersaiz 12 pt. Cerita yang ditaip dengan menggunakan komputer perlulah disertakan dengan salinan
lembut (softcopy).
4. Cerita hendaklah merupakan karya asli yang belum pernah diterbitkan.
5. Panjang setiap cerita hendaklah tidak kurang daripada lima (5) halaman.
6. Cerita hendaklah ditulis dengan memberikan keutamaan kepada mutu penyampaian (jalan cerita yang lancar, teratur dan menarik) dan gaya bahasa yang baik.
7. Semua cerita yang dihantar untuk menyertai peraduan ini tidak akan dikembalikan.
8. Peserta tidak boleh menggunakan cerita yang dihantar untuk menyertai pertandingan ini bagi tujuan-tujuan lain pada masa yang sama, misalnya (i) untuk menyertai peraduan/pertandingan lain, (ii) untuk diterbitkan dalam majalah, buku, akhbar dsb oleh pihak lain.
9. Semua cerita hendaklah dikirim (melalui e-mel, pos atau hantar tangan) dengan menggunakan Borang Penyertaan Rasmi yang boleh dimuat turun daripada laman web Angkasa dan DBP.
10. Penganjur mempunyai hak mutlak untuk menerbitkan mana-mana cerita yang dihantar dalam apa-apa juga bentuk mengikut budi bicaranya.
11. Tarikh tutup pertandingan ialah 30 November 2008 Semua penyertaan hendaklah
sampai kepada urus setia sebelum atau pada tarikh tersebut. Penyertaan yang lewat
sampai tidak akan dipertimbangkan.
12. Semua penyertaan yang menepati syarat peraduan ini akan dihakimi oleh panel
penilai yang dilantik oleh penganjur. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Hak cipta/penerbitan

Penganjur berhak untuk menerbitkan atau menyiarkan penyertaan (karya-karya) yang dipilih, dan dalam berbuat demikian, berhak membuat penyuntingan atau pindaan yang difikirkan perlu, ke atas karya-karya yang berkenaan. Karya yang dihantar untuk penyertaan pertandingan ini tidak boleh dihantar kepada penerbit atau pihak lain tanpa mendapat persetujuan penganjur peraduan ini terlebih dahulu.

Maklumat lanjut

Alamat Urus Setia: Urus Setia, Pertandingan Penulisan Cerita Rakyat Nusantara Bertemakan Alam Semesta Agensi Angkasa Negara (Angkasa),
Aras 5, Blok 2, Menara PjH, Presint 2, 62100 PUTRAJAYA (U/P: Mhd Fairos Asillam/Farahana Kamarudin)
Telefon: 03-88888668
Faks: 03-88883480
E-mel: Mhd Fairos atau Farahana


0 Responses to "Pertandingan Penulisan Cerita Rakyat Nusantara"

Catat Ulasan